Home Top Ad

Tingkat iklan berbahasa Melayu

Kuala Lumpur: Kerajaan komited untuk meningkatkan kadar pengiklanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di dalam media cetak berbahasa Melayu bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, mengakui jumlah perbelanjaan pengiklanan 17 GLC di bawah Program Transformasi GLC untuk media berbahasa kebangsaan pada tahun lalu adalah rendah iaitu 23 peratus berbanding bahasa Inggeris 49.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, GLC seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) menunjukkan peningkatan kadar pengiklanan sejak kementerian menyarankan media cetak Bahasa Kebangsaan diberi keutamaan.


TM peruntuk 33 peratus

“TM memperuntukkan 33 peratus perbelanjaan untuk media berbahasa kebangsaan pada tahun lalu berbanding 29 peratus pada 2011.

“TNB pula membelanjakan 48 peratus (2012) untuk media berbahasa kebangsaan berbanding 39 peratus untuk media berbahasa Inggeris,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah pada persidangan Dewan Negara, semalam.

Firdaus meminta penjelasan kementerian mengenai reaksi GLC terhadap arahan kementerian seperti yang dijanjikan ketika sidang Dewan Negara, pada April tahun lalu.
Dalam pada itu, Firdaus ketika ditemui di lobi Parlimen berkata inisiatif kerajaan memperkasakan bahasa kebangsaan menerusi media cetak wajar dipandang serius.

Katanya, ia memperluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan menerusi peruntukan pengiklanan GLC di media cetak, selain meningkatkan nilai ekonomi bahasa Melayu.

Perlu dipertingkat

“Sokongan GLC terhadap media cetak berbahasa Melayu perlu dipertingkatkan supaya mencapai keseimbangan, malah diutamakan seiring dengan aspirasi memartabatkan Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat TNB, Omar Sidek berkata, dasar syarikat menyahut saranan kementerian memperkasakan Bahasa Kebangsaan sejajar dengan strategi komunikasi TNB.

Katanya, ia dibuktikan apabila pengiklanan TNB mampu mencapai golongan sasaran iaitu majoriti yang lebih memahami dan menggunakan bahasa Melayu. 



Sumber : Berita Harian
Tingkat iklan berbahasa Melayu Tingkat iklan berbahasa Melayu Reviewed by FJ on 5:35 AM Rating: 5

No comments